Thursday, August 21, 2014

Tips Memasak Sendiri di rumah Norzalina Hamzah

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim...

Apabila bercakap tentang memasak di rumah, saya bukanlah orang yang layak. Sekadar lauk pauk biasa yang suka dimakan sahaja, jauh sekali untuk membuat kuih muih, kek dan pencuci mulut. Saya beli banyak buku resipi, tetapi masih juga memasak menu yang sama sebabnya bila hendak masak, tidak jumpa resipi yang ingin dicuba. Dan sebaliknya bila ada resipinya, jengah ke dapur, banyak pula bahan yang tiada. Buku 1 Hari 1 Resipi bantu mudahkan tugas memasak kerana ia disusun mengikut bahan masakan utama- ayam, daging, makan laut, dan sebagainya.

Untuk memasak dan makan di rumah, kita tidak perlu menjadi pakar. Bukan perlu tahu memasak semua jenis makanan. Fokus pada makanan yang digemari oleh ahli keluarga sahaja. Bukan juga semestinya perlu memasak menu yang berat dan hebat. Apa yang menjadikan makan di rumah lebih menarik ialah nasi yang dimakan panas-panas dan lauk pauk yang baru saja siap dimasak terus dihidang, khususnya makanan yang digoreng dan jenis sayuran.

Menu Mudah
Saya suka dengan kombinasi menu di bawah ini, ringkas dan cepat di masak terutamanya apabila memasak selepas pulang dari kerja untuk makan malam. Bukannya dimasak setiap hari tetapi diselang seli dengan menu berat seperti kari, kurma, asam pedas, gulai dan seumpamanya.

Kombinasi Menu 1:
Sayur rebus
Ikan goreng
Sambal belacan / sambal ketuk / air asam dengan kerisik / cili kicap

Kombinasi Menu 2:
Sayur lemak
Sambal ikan/ayam/telur
Ikan masin

Kombinasi Menu 3:
Sambal sardin
Telur dadar

Persediaan Awal
Bagi memudahkan lagi tugas memasak, ada yang suka menyediakan bahan asas memasak siap disediakan dan disimpan di dalam peti sejuk. Contohnya bawang dan cili siap dikisar. Beli ikan bilis yang sudah siap dibersihkan. Basuh telur ayam dan simpan dalam peti sejuk. Bila hendak memasak sambal contohnya, tumiskan bawang dan cili. Bila hendak goreng sayur pun bawang diperlukan. Hendak menggoreng bihun pun, perlukan bawang dan cili.

Basuh siap protein (ayam, daging, ikan, sotong) dan simpan dalam bekas bertutup. Turunkan ke bahagian bawah peti ais sebelum pergi kerja dan sedia dimasak pulang dari kerja nanti. Namun begitu ada yang kurang gemar dengan idea ini. Bawang dan cili yang dikisar disimpan lama memberikan rasa yang kurang segar berbanding cili yang baru dikisar dan terus dimasak.

Masak Banyak dan Sejuk Beku
Ada juga yang gemar rancang menu untuk seminggu, beli bahan yang diperlukan dan masak menu untuk seminggu pada hujung minggu. Makanan disimpan dalam beberapa bekas dan disejuk bekukan. Hanya satu bekas bagi satu lauk akan dikeluarkan dan dipanaskan pada satu sessi makan. Bekas yang lain masih disimpan dan begitulah seterusnya. Anda perlu label makanan untuk lebih memudahkan urusan .

Beli Lauk, Masak Nasi
Kaedah ini pun boleh juga digunapakai. Bila makan di luar kos menjadi lebih banyak kerana perlu bayar untuk minuman. Dengan memasak nasi di rumah, kita berjimat untuk bayaran nasi dan minuman. Cuba buat kira-kira dan lihat signifikan juga jumlahnya. Kini teh O ais bukan berharga RM1 apatah lagi jus buah-buahan boleh mencecah RM4 ke RM5.

Semoga tips ini menjadi sebab untuk anda mula memasak dan makan di rumah dan menjadikan urusan memasak lebih mudah. Mengemas dapur selepas memasak adalah lebih mencabar dari memasak itu sendiri.
Berkenalan dengan penulis Norzalina Hamzah.
Singgah di blog: http://norzalinahamzah.blogspot.com/2014/08/4-tips-memasak-sendiri-di-rumah.html
Kelas asas blog dan penulisan
Guru online: Aishah Hussein

Pendaftaran kelas dibuka setiap hari.


Berminat sertai Akademi Bekerja dari Rumah? tempah segera di borang tempahan kelas online



atau hubungi saya 
di Fb rasmi saya dalilayusof