Sunday, August 10, 2014

Cempedak Goreng Sedap

Teks: Dalila Yusof
Bismillahirahmanirahim....

Syawal kini sudah masuk hari ke 15, setiap minggu ada sahaja aktiviti rumah terbuka dan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara. Inilah masanya kita mengeratkan  silaturrahim antara sanak saudara, tidak dinafikan kerana tuntutan tugas, kita makin jauh dengan keluarga. Adakala kita, bertembung dan bertentang mata, belum tentu kita tahu dan kenal mereka, rupanya mereka ada bau-bau bacang dengan kita. Tidak dinafikan juga beraya di kampung lebih meriah dan seronok, terutama hari sebelum raya itu, bergotong royong memasak juadah di pagi raya seperti  lemang, ketupat dan rendang. Tapi tahun ini, mak dan ayah memang tak larat nak buat dodol, sebabnya adik beradik ramai yang beraya bergilir dengan keluarga lain. Tahun ini tak merasalah dodol cair yang sedap tu, mungkin tahun hadapanlah kot. Mungkin tahun hadapan barulah boleh berkumpul adik beradik memeriahkan raya di Melaka kelak.

Sepanjang seminggu lebih berpuasa di kampung, memang asyik makan cempedak goreng sahaja. Kalau di Selangor ini, kalau beli cempedak goreng, 4 ketul sudah berharga dua ringgit. Dan, nampak besar tapi disaluti dengan tepung setebal yang boleh. Tak baik betul menipu pelanggan. Geram rasanya, pernah dulu, beli buah cempedak di Kulai, sebiji buah cempedak isinya hanya 6 ketul dan banyaknya rerami sahaja. Nampak berat rupanya berat rerami sahaja. Balik kampung memamg terasa puas sangat makan cempedak ini. Sedap dan manis, buah cempedak nampak kecil tapi dalamnya penuh isi. Kalau jual memang laku sahaja.


Pagi ini, sarapan buat  cempedak goreng, goreng banyak-banyak, dan suami bawa ke tempat kerja. Batter untuk salut cempedak ini, saya buat agak-agak sahaja. 

Antara bahan-bahannya: 
1 biji buah cempedak 
4 sb tepung beras
1 sb tepung gandum
1 sk garam
air secukupnya
sedikit  serbuk kunyit
minyak untuk mengoreng
1 bj telur dipukul hingga kembang. 

Cara-caranya: 
Panaskan minyak, campurkan semua tepung dan serbuk kunyit. Larutkan garam dalam air, kemudian baru campurkan ke dalam sebatian tepung tadi hingga sebati. Agak-agak sahaja jangan terlalu cair atau pekat. Masukkan sedikit sahaja telur tadi untuk mengaringkan cempedak goreng. Salut cempedak dengan batter tadi, dan goreng sehingga kekuningan. Siap boleh dihidangkan dan dimakan panas-panas.

Sedap sangat, tapi jaga-jagalah cempedak ni lepas makan, rasa macam berangin sahaja satu badan. hu..hu...